Laman

Wednesday, December 24, 2008

AYAH



Dalam setiap daerah kehidupan mu,
Terpalit kisah duka yang tak terungkap oleh naluri seorang anak,
Duka yang disembunyikan dibalik kedut dahimu,
Kerana bagimu, duka itu biarlah menjadi cerita hidupmu yang sendu.
Dalam setiap daerah kehidupanmu sebagai ayahku, terkisah satu cerita kecewa,
Kecewamu terhadapku sebagai anak,
Kecewaku sebagai anak yang tidak berjasa,
Sehingga setiap titis keringatmu kering dalam hari2 yang berlalu,
Tanpa jiwaku menyedari dengan keringat itulah kau suapkan semulut nasi ,
Dengan keringat itulah kau bina bumbung beratap zink
Meneduhi tanda kasih yang tak terungkap kepadaku,
Kau bina lantai kayu agar kakiku tidak sakit memijak batu
Tanda kau ingin kehidupan yang anakmu lalui tanpa luka pilu,
Kau bina jendela dari serpihan kayu bangunan
Agar anakmu menyedari disebalik jendela terpakai itu, ada lagi satu jendela; jendela kehidupan insan.
Tapi aku si anak terus merungut melihat bumbung rumah yang bocor,
Merungut kedinginan diwaktu malam dikala angin memasuki celah-celah lantai kayu yang tidak tertutup dengan tikar.
Merungut bunyi bising keriuk jendela apabila angin menamparnya.
Si anak terus merungut tanpa henti.
Si ayah terus sabar peduli, syukuri kerna saat itu tidak seperti dulu lagi.
Ayah,
Sehingga kelewatan batas waktu itu,
Aku tersentak daripada khayalanku,
Aku tersedar erti kehidupan yang kau beri,
Dikala aku melihat kau sengsara menahan lelah didada,
Dikala aku melihat dirimu tercungap-cungap untuk sesedup udara ,
Dikala aku melihat kakimu longlai melangkah ke tikar sembahyang,
Dikala aku melihat tanganmu menggigil menyuap makanan,
Dikala aku melihat wajahmu berkerut kerna batuk yang menyakitkan,
Dikala aku melihat wajahmu pucat tanda keuzuran,
Dikala aku melihat tidurmu yang menyesakkan,
Waktu itu ayah, aku si anak hanya mampu memerhati dari sisimu,
Tidak mampu mengembalikan waktu sihatmu,
Memerhati mungkinkan derita itu tertanggung lagi olehmu,
Ayahku semakin tua,
Ayahku tidak sesihat dulu,
Ayahku telah kurang waktu bercandanya denganku,
Ayahku sudah tidak berselera menjamah masakanku,
Aku si anak, diam dalam kecewa…
Kerana aku anak yang berdosa.

Kemboja putih
Blok d (2.5) Halimatul Sa’diah IIUM
9:05 malam (24/12/2008)