Laman

Saturday, January 17, 2009

Bingung Si Kecil, Ratap Si Ibu...

Si kecil itu bingung,
melihat dirinya dikelilingi batu-batuan yang ranap,
bukan dikelilingi taman permainan indah.
Si kecil cuba mengingat, dimana bonekanya.
Si kecil bertanya kepada si ibu, namun bahasa kecilnya tidak dapat difahami,
Si ibu menatap wajah anaknya,
Anakku, terlalu muda untuk kau mengenal erti keperitan. Sedangkan diriku yang dewasa ini seringkali berputus asa, mengenang nasib kita berdua di hari muka.
Mampukah tercoret sebuah senyuman diwajahmu untuk tatapanku hari esok?
Masihkah lagi kau berpeluang mendakap dadaku?
Ah! anak, bukan ini yang ingin ku beri kepadamu.
Bukan peluru, bukan roket, kereta kebal mahupun jet pejuang Zionis yang ingin ku beri sebagai alat permainanmu.
Anak!Aku hanya mampu memelukmu, terus memelukmu…
kerana aku khuatir disaat kau terlepas dari pelukanku,
kau jua akan terlepas dari hidupku.
Si kecil semakin bingung melihat si ibu memandangnya tanpa suara,
Sangka ibunya tidak faham maksudnya.
Lantas si anak meronta-ronta, merenget, menangis,
Katanya “bonekaku dimana ibu?”
“Jangan bising anak, nanti si beruk itu datang memukulmu”
“Ibu, bonekaku dimana? Itu satu-satunya yang aku miliki, walaupun banyak carik koyaknya mahupun comot terkena darah ayah, tapi itu sahaja yang aku miliki saat ini Ibu”
Si kecil terus merenget meminta bonekanya, namun sangka ibunya masih berbeza.
“Ibu tahu kamu lapar sayang, ibu juga, tapi kita tidak punya apa-apa lagi. Lihat rumah kita, tiada lagi laman mahupun ruang tamu buat kau berkejar-kejaran. Sabar sayang, berhenti menangis, nanti si beruk hodoh itu datang memukulmu, cukuplah ibu dipukulnya. Mari sayang, ibu pelukmu erat-erat, barangkali engkau akan sedikit lupa tentang laparmu”
“Ibu ini kenapa? aku minta bonekaku bukan minta didakap, sukar sekali memahami bahasa dewasa, barangkali itu sebabnya bonekaku masih hilang, ibuku tidak memahami maksudku. Ibu!Boneka itu mainanku, buat aku peluk diwaktu laparku, diwaktu tidurku yang kedinginan, diwaktu takutku dengan bedilan jet zionis. Tahukah ibu, saat aku peluk boneka itu, hatiku sedikit tenang kerana aku punya kawan disisiku dan dia masih selamat walaupun tangan dan badannya luka berdarah.Ibu, ku pinta, carikan boneka ku.”
Si Kecil melepaskan pelukan ibunya, berlari menuju ke arah runtuhan rumahnya. mencari-cari bonekanya dicelah bangunan itu. Mungkinkah boneka itu ditemui? Si kecil terus mencari. Si ibu yang leka dengan perasaannya terkejut, kembali anakku. Nanti si beruk itu mengejarmu, bukan untuk bermain tapi untuk memukulmu. Si ibu mendekati si anak, mendukungnya, “cukuplah! Tiada yang tersisa untuk kita lagi.Mari ibu pelukmu”
Si ibu membawa anaknya ke rumah jirannya, bukan minta berteduh kerana disekelilingnya tidak layak untuk dibuat kediaman lagi, namun tujunya sekadar berkongsi duka. Nasib mereka juga sama.
Si kecil kembali menangis apabila si ibu membawanya menjauhi runtuhan itu.
Si anak berhenti menangis dan meronta sekuat hatinya, mohon dilepaskan. “Ibu!lihat di celah runtuhan rumah kita itu, itu bonekaku!” Si kecil tersenyum dan berlari menuju kearah bonekanya.Si ibu hanya mampu membiarkan untuk kali ini, sampai bila dia mampu memeluk anaknya. Mata si ibu tidak lekang dari memerhatikan anaknya, membiarkan anaknya mengambil boneka itu, kerana itulah kehidupanmu nanti anakku, kehidupan yang tidak memerlukan aku selalu disisimu, kehidupan nanti yang belum tentu mentakdirkan aku memelukmu lagi.
Si ibu mendengar bunyi suara engin jet yang kuat di angkasa, semakin kuat, si ibu melihat di udara. Oh tidak! Si kecil tersenyum riang apabila bonekanya dijumpai. Ingin segera dia kembali kepada ibunya, dari jauh dia berkata “Ini bonekaku, telah aku temui ibu!” Si anak melangkah ke arah ibunya. BOOM!
Debu-debu bertebaran di udara, si ibu terpelanting sejauh lima kaki, jirannya sempat menyelamatkan diri, si ibu merasakan tulangnya retak, kesan hempakan badannya ke tanah keras.Ah! Sakit, seperti seluruh sendi-sendinya terputus antara satu sama lain.Matanya berpinar, kepalanya pening, dihadapannya kelihatan hanya debu-debu tanah. ANAKKU! Si ibu dengan sekuat hati bangkit, berkejar kearah tapak letupan itu. mencari-cari jasad anaknya. Hatinya menggila, air matanya mengalir laju. TIDAK MUNGKIN! Langkahnya semakin longlai mengelilingi kawasan runtuhan itu. “ANAKKU! Sahut seru ibumu ini sayang, jangan terus diam, ibu risau, sahut sayang, ibu ingin dengar suaramu. Jangan merajuk dengan ibu, ibu tahu kamu lapar, mari sayang kita pergi …kita pergi.. kita pergi ke kedai runcit, kita beli roti kesukaanmu. Datang kepada ibu sayang, jangan bersembunyi lagi, tempat ini tidak lagi selamat untukmu bermain. ANAKKU!!! Oh Tuhan! dimana Kau sembunyikan anakku, aku ingin memeluknya.” Si ibu akhirnya terduduk dihadapan boneka anaknya, digenggamnya. darah merah membasahi pakaian boneka itu, baunya hanyir, seperti bau darah yang masih baru, si ibu memandang sekeliling.Ratap si ibu tanpa lagi tangis si kecil.

Fikirmu, apakah yang terjadi terhadap si kecil itu?
Apa yang terjadi terhadap tubuh kecil itu apabila terkena bom dari jet zionis?
Masih sempurnakah anggotanya? Masih celikkah matanya? Atau telah pekak telinganya sehingga tidak mendengar sahut si ibu. Masih elokkah tangannya untuk memegang bonekanya? Masihkah kamu mampu membayangkan lebih dari itu.

Itu hanya satu cerita di sebalik berjuta-juta kisah derita di bumi Palestine. Itu hanya rekaku, kerana aku tidak pernah mengalaminya, namun hanya itu yang terluah dari imaginasiku. Kalaupun masih ada yang tersisa, hati aku tidak akan terus tahan melakar perasaan itu kerana aku turut merasa derita itu.