Laman

Thursday, April 16, 2009

Takdir Si Yatim Piatu

Suatu hari dia didatangi oleh seorang sahabat:

‘Ya Rasulullah, dimana tempat ayahku diakhirat nanti?’ Tanya lelaki tersebut perihal ayahnya yang meninggal dalam keadaan jahiliyyah.
‘Ayahmu berada di Neraka.’ Jawab baginda. Lelaki tersebut merasa sedih dengan berita ayahnya yang menjadi ahli neraka. Dengan nada memujuk nabi berkata:
‘Ayahmu dan ayahku kedua-duanya berada di Neraka.’

Mahukah kalian tahu perasaan menjadi anak yatim piatu? Jika kalian bertemu dengan seorang budak yatim piatu, saat kalian bertanya perihal ibu bapanya, lihat matanya, lihat raut wajahnya. Andai matanya berair, andai kalian melihat dia memalingkan muka, andai dia tunduk, andai dia tersenyum kelat andai dia berdehem andai jua saat dia berbicara tersekat-sekat suara, itulah tanda betapa sukar untuk menggambarkan perasaan seorang yatim piatu.

Lantas, pernahkan kita terlintas dihati apa perasaan baginda saat diajukan soalan begitu? Demi memujuk hati sahabatnya, baginda mengatakan demikian. Seorang pemuda yang tidak pernah merasa kasih seorang ayah, namun ditakdirkan ayahnya menjadi ahli neraka pula. Ayahnya Abdullah, ‘hamba Allah’ namun seorang ahli neraka. Subhanallah, hanya Allah yang Maha Mengetahui hikmah disebalik takdirnya. Jarang kita mendengar dari matn hadith-hadith perihal ayahnya. Kenapa? Kerana tiada satupun kenangan bersama ayahnya yang boleh diceritakan. Namun, baginda bukan insan yang suka bercerita tentang keluarganya. Baginda lebih memikirkan umatnya. Umatnya yang mengkufurinya dan juga sebahagian lain mengimani pulalah yang banyak mengubat hatinya agar terus sabar menjunjung risalah agung dari Allah.

Namun begitu, Allah masih memberinya nikmat merasai manisnya kasih seorang ibu. Aminah hanya sempat menumpahkan kasihnya kepada Nabi Muhammad hanya beberapa tahun. Sedih menghambat nabi sehingga baginda menitiskan air mata saat menziarahi kubur ibunya. Sekali lagi, jarang kita ketemu riwayat-riwayat yang menceritakan kehidupanya bersama ibunya, Aminah. Sesungguhnya, kehilangan seorang ibu terlalu perit jika dibandingkan kehilangan seorang ayah. Apakah lagi yang membuat baginda bersedih? Ibunya jua menjadi ahli neraka. Baginda pernah menangis dan bermohon kepada Allah agar mengampuni ibunya, namun Allah menegah berbuat demikian, lalu menitis lagi air matanya. Walaupun baginda seorang nabi, namun baginda juga mempunyai perasaan, mempunyai rasa sedih, merindui belaian seorang ibu, Seperti kita, saat kita kelelahan, penat dengan ujian hidup, bersegera kita mengunjungi ibu bapa kita. Saat terpandang wajah mereka hilang seribu derita, hadir sejuta cahaya. Namun itu tidak tertulis dalam kehidupannya walaupun baginda seorang nabi.

Tergambarkah difikiran kita perasaan baginda saat ditegah dari berdoa untuk kedua-ibu bapanya? Tertulis bahawa ibu bapanya ahli neraka sedangkan baginda pemimpin ummat manusia. Subhanallah, satu percaturan hidup yang hanya Allah mengetahui, baginda tidak pernah merungut tentang kehidupannya, walau apapun takdir kehidupannya, baginda tetap redo menerima. Baginda patuh tanpa banyak soal apabila ditegah memohon ampun untuk ibunya sedangkan itulah satu-satunya cara unutk baginda berbuat baik dengan ibunya. Andai kita, saat kita kehilangan orang tersayang, mungkin Allahlah mula-mula dipersalahkan. Nabi tidak pernah merungut kepada Allah kenapa tidak diberikan hidayah kepada ibu bapanya. Hanya Allah yang Maha mengetahui hikmah ketetapan takdirnya sebagai yatim piatu.

Tidaklah hairan lagi apabila baginda memerintahkan supaya tetap mengasihani si yatim piatu hingga tuntutannya diabadikan di dalam al-Quran kerana baginda juga pernah merasai peritnya hati seorang yatim piatu. Kerana itu baginda menyuruh berlaku baik kepada mereka, kerana dengan akhlak begitu, kesedihan mereka terubat, hati mereka terisi, kasih dikongsi. Subhanallah, Itulah didikan yang dipilih Allah untuk baginda.
Namun, Allah itu bukan Khaliq yang zalim. Benar, bagi manusia, diuji seperti baginda amatlah berat sekali. Kadang-kadang hidup sebagai yatim piatu seolah-olah kita berjalan diatas jambatan yang kecil lagi bergoyang, tiada tali untuk berpaut. Apakah yang terjadi? Sedangkan dihadapn sana ada kebahagian yang menanti. Sukar sekali untuk meneruskan perjalanan kehidupan. Tiada tempat untuk berpaut. Namun Allah menjaga baginda, walaupun baginda kehilangan orang-orang yang disayangi, walau darah dagingnya juga memusuhinya, ALLAH DAN JIBRAIL MENEMANINYA. Sentiasa sang Rabb mengirimkan salam kepada baginda. Sentiasa Jibrail menemaninya setiap ketika. Kebersamaan bersama Allahlah yang menyebabkan baginda terus thabat menyebarkan risalah islam.

Walaupun beliau tiada ibu bapa, terdapat ibrah yang sepatutnya kita petik dari setiap liku-liku kehidupan baginda. Andai Allah mentakdirkan kedua ayah dan bondanya hidup sehingga baginda dewasa dan berkahwin dengan Khadijah, tapi mereka meninggal sebelum risalah al-Quran diturunkan, Pasti baginda lagi bersedih. Ibu dan ayah yang menatangnya bagai minyak yang penuh, pergi meninggalkannya selama-lamanya..selama-lamanya tanpa lagi ketemu lantaran mereka dimasukan ke dalam neraka. Bertambah perit hatinya saat doa untuk mereka ditegah. Barangkali Allah ingin mengajar baginda ‘bersandarlah pada Ku’ kerana Allah tidak ingin baginda terlalu berharap pada kasih sayang dunia, kasih sayang ibu bapa yang sebahagian isi dunia, mendidik baginda agar tidak ‘bersandar pada dunia’. Jika tidak, mungkin baginda akan terus merindui ibu bapanya, menyebut-nyebut perihal ibunya seperti baginda menyebut-nyebit perihal isterinya Khadijah sesudah meninggal. Khadijah, mengajarnya erti cinta, cinta yang tiada galang gantinya. Cinta yang menjadi penenang jiwanya saat didatangi wahyu pertama. Cinta yang mengisi hatinya dengan kasih dan cinta daripada seorang perempuan. Aku, lama menunggu hati sedar untuk memahami sebuah hakikat kehilangan yang ditakdirkan baginda.
BEGITULAH ALLAH MENDIDKNYA, MEMTARBIYAHNYA SEBELUM DIANGKAT MENJADI PENGHULU NABI PEMIMPIN SELURUH ALAM. RASULULLAH, SI YATIM PIATU.
-Wallahua'lam-

No comments: