AKU MALU, malu mengaku sebagai ummat nabi. Malu kerana cetek pengetahuan tentang keperitan sirah nabi. Hari berganti hari, perjalanan dakwah terus mendesak hati agar terus thabat dan sabar di jalan mulia ini. Amal da’wah bukan semata-mata mencari kesalahan pihak lain tetapi sebaliknya mencari penyelesaian tentang masalah agar tidak terus merebak menjadi nanah di dalam kehidupan mereka. Kita seringkali lupa sifat mazmumah yang mengumpul dalam diri tetapi cepat sahaja mentafsir keburukan orang lain. Berlagak kononnya kita lebih baik dan sempurna, kononnya orang lain tidak layak untuk hidup lebih mulia, konon pintu hidayah telah tertutup, kononnya malapetaka yang terjadi keatas orang tersebut tidak akan menimpa kita. Gerun hati memikirkannya, moga dijauhkan dari golongan yang sombong membabi buta begitu.
Kita banyak sombong dari tawadduk. Sombong dengan haiwan, sombong dengan makanan, sombong dengan kawan, jiran lagi-lagi lawan, kita sombong dengna keluarga. Sematlah di hati, ummat terdahulu dilaknat Allah, dimusnahkan kerana sifat bongkak sombong dengan Allah. Firaun mati kelemasan di laut kerana sombong, mengimani dirinya Tuhan sehingga memaksa hamba-hamba dalam kalangan yahudi membina pyramids, kononnya di puncak pyramid dia dapat bertemu Tuhan. Pengikut, kuasa juga gedung kekayaannya tidak mampu menyelamatkannya dari ditenggelami air laut. Firaun mati kerana air bukan kerana berperang dengan Nabi Musa. Itulah manusia yang sombong sebenarnya lemah. Qarun di telan bumi kerana sombong juga, mengaku segala kekayaannya hasil usahanya bukan rezeki dari Allah. Itulah manusia cintakan materi. Ummat terdahulu dimusnahkan kerana mereka sombong menolak ajakan nabi-nabi kepada ketauhidan Allah. Sombong seperti satu penyakit keturunan yang sukar diubati, sudahlah kerdil terus hina kerana perbuatan sendiri.
Kita jarang meletakan kesalahan di bahu sendiri malah menyalahkan orang tersebut membabi buta. Kita melihat salah seorang keluarga kita ditimpa bencana maksiat, lurus menuding jari kepada orang tersebut tetapi lupa tanggungjawab sesama keluarga dan saudara seIslam. Bagi kita, syurga hanya untuk kita, jauhkan diri kita dari neraka, orang lain abaikan, mereka bertanggungjawab terhadap diri mereka sendiri. Ini bukan ajaran nabi semenjak 1418 tahun lalu. Islam bukan bercorak individualistic. Syurga bukan untuk kita-kita saja, tetapi untuk semua. Kita sering lupa, bala tidak akan menimpa kita, sedangkan kita lupa bala Allah tidak mengena kepada individu tetapi secara kolektif termasuk kita, kerana kita bertanggungjawab kepada kelangsungan maksiat tersebut. Kita tidak menggunakan lidah untuk menasihati, tidak digunakan indera untuk mengawasi. Kita biarkan saudara kita bebas seperti lembu dilepaskan tali, kemana hendak pergi ikut suka hati, yang penting menjelang malam sudah siaga di rumah seperi kambing yang pulang ke kandang setelah kenyang meragut rumput di padang. Kita semakin tidak menyayangi sesama kita.
Kita sering lupa, yang di atas pasti akan turun, belon yang bulat akan mengempis, yang kaya akan miskin, yang ketawa akan menangis, yang bahagia akan berduka, yang tenang pasti diuji. Itulah cabaran iman kita. Kadangkala naik, tapi banyak yang menurun. Aku takut berlaku sombong kepada isi dunia, aku takut binasa kerana kesombonganku sendiri. Kesombongan seperti mencabar Allah, mengkritik kejadiannya. Manusia sekarang berfikir menggunakan nafsu bukan lagi iman. Umat dari sekecil-kecil institusi dan sebesar-besar gergasi semakin hancur dan binasa.
Kita menyombong dengan orang yang membuat maksiat, kononya kita lebih baik dari mereka kerana kita menunaikan solat lima tidak pernah tinggal, puasa penuh bulan ramadhan. Bongkak membabi buta. Kita mencela isteri pemimpin, artis-artis yang berbuat maksiat, enak sahaja kita mencaci manusia tetapi kita lupa selagi mereka hidup, pintu taubat dan hidayah sentiasa terbuka untuk mereka. Mungkin hari ini kita melihat si dia bercumbu dengan pelacur, tapi suatu hari nanti Allah beri dia hidayah dan kita melihat dia mencumbui sejadah. Kita tidak tahu kepada siapa hidayah akan diberikan, segalanya urusan Allah. Kita jangan sombong dengan iman sekecil hama di hati, mungkin kerana kesombongan kita Allah akan menarik iman itu dan laknatlah kita di dunia, ramai yang binasa kerana kesombongan hati. Sombong dengan kuaantiti ibadah tetapi kualitinya kosong. Tanda ibadah yang tidak berkualiti adalah melalui tingkah laku yang tidak sedar diri, mencela mengkeji sana sini, kesalahan orang di cari, keburukan diri dikaburi, bodoh melingkari disebalik tudung melitupi dan kopiah meninggi. Kita sombong, kita lebih hina daripada anjing kurap di jalanan, hina anjing tersebut hanya kerana jolokan ‘haram’ pada tubuhnya sehingga tidak ada yang ingin menyentuhnya, sehingga segala tentangnya tiada guna. Kita menggunakan jolokan ‘haram’ kepada anjing hanya semata-mata kita malas! Malas untuk menyamak diri jika terkena najis anjing, air liurnya. Kesian anjing, tiada yang sudi mengusapmu apatah lagi memberimu minum, sedangkan manusia jahil bahawa engkau tidak pernah kurang 1000 kali berzikir kepada Allah. Engkau lebih mulia daripada aku.
Ya Allah, aku berdosa lagi..
Kemurkaanmu ku undang..
Kadangkala aku merasa berputus asa
Kerana munafik imanku padaMu..
Kerana palsu cintaku padaMu..
Kerana tiruan shahadatain aku…
Kalau tidak kerana pesanMu…
Untuk berpegang pada talimu…
Sungguh syurga bukan lagi milikku.
Sukar meninta keikhlasan kepadaMu..
Hanya letih menimpa diri..
Ya Rahman…
Kalau tidak kerana
Aku ingat keampunanMu…
Pasti sia-sia kehidupanku…
Aku semakin lemah Tuhan..
Tarik aku kembali…
Jangan aku binasa kerana diri sendiri…
Dakap aku lagi Tuhan…
Agar Syurga pasti termiliki.
Ya Allah, aku berdosa lagi..
Kemurkaanmu ku undang..
Kadangkala aku merasa berputus asa
Kerana munafik imanku padaMu..
Kerana palsu cintaku padaMu..
Kerana tiruan shahadatain aku…
Kalau tidak kerana pesanMu…
Untuk berpegang pada talimu…
Sungguh syurga bukan lagi milikku.
Sukar meninta keikhlasan kepadaMu..
Hanya letih menimpa diri..
Ya Rahman…
Kalau tidak kerana
Aku ingat keampunanMu…
Pasti sia-sia kehidupanku…
Aku semakin lemah Tuhan..
Tarik aku kembali…
Jangan aku binasa kerana diri sendiri…
Dakap aku lagi Tuhan…
Agar Syurga pasti termiliki.
Tambunan, Sabah
10.5.09
11.16 pm
No comments:
Post a Comment