Laman

Friday, May 15, 2009

Assolatu was Salam a'la Rasulillah

Bismillahirrohmanirrohim, Allahmummasolli a’la Muhammad wa’ala aali Muhammad kama sollaita a’la Ibrahim, innaka hamidun majid.- Ya Allah, semoga Engkau merahmati Muhammad dan keluarga Muhammad seperti Engkau merahmati Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha terpuji dan Maha Agung.” Semoga selawat yang diucapkan kita saban hari sampai kepada baginda S.A.W. Yaqinlah dengan kesaksian shahadatain bahawa baginda . S.A.W PASTI BAHAGIA dengan ummatnya yang berselawat.

Amma ba'du,

Jangan kita menyangka bahawa mereka yang tidak hidup didalam kehidupan baginda . S.A.W lebih 1400 tahun lampau adalah golongan yang tidak layak berdampingan dengna baginda S.A.W . Ketahuilah, kitalah orang-orang yang paling baginda rindui kerana baginda sangat mencintai mereka yang tidak pernah berjumpa dengannya tetapi Alhamdulillah MENGIMANI KERASULANNYA, Subhannallah. Kita golongan yang lebih baginda cintai berbanding para sahabat. Kadang-kala nafsu jahat bertanya ‘ada apa dengan baginda? Dari dulu kita percaya baginda wujud tetapi atas dasar apa sebenarnya kita YAQIN baginda benar-benar wujud dan seorang Rasul? Itu monolog seorang hamba yang lahir dalam kalangan orang Islam.

Ketahuilah, baginda manusia biasa tetapi luar biasa sekali akhlaknya. Subhanallah, doa dan salam sejahtera patut kita hadiahkan kepada mereka yang bertungkus lumus, berpenat lelah, berhabisan harta, tenaga dan usia demi merekod perihal sunnah baginda tidak kira perkataannya, budi bicara mahupun cerita-cerita yang dituturkan tentang baginda serta sirah baginda yang dicungkil dari baginda belum lahir sehingga selepas baginda wafat. Muhammad bukan tokoh sejarah yang biasa. Tidak ada seorang tokoh sejarahpun kehidupannya direkod secara terperinci dan sedaya mungkin bebas dari kebatilan berbanding baginda, dan BAGINDA BUKAN SEORANG TOKOH DALAM SEJARAH MANUSIA, baginda RASULULLAH. Bacalah buku tentang baginda, kalian tidak akan menjumpai suatupun yang buruk tentang baginda hatta sebesar hama kecuali buku yang ditulis untuk memunah-ranahkan keimanan ummatnya tetapi bagi yang mengimani baginda, setiap yang bertentangan pasti dapat dikesan kerana sifat mazmumah walau sebesar zarah tidak layak untuk berdampingan dengan Rasulullah. Baginda cukup sempurna untuk diangkat sebagai Nabi paling agung sekali dalam sekalian nabi.

Kadangkala kita rindu untuk bertemu baginda, bertambah rindu apabila membaca dan menghayati sirah baginda. Subhanallah, hanya dengan membaca kisahnya, tidak pernah mengenal suara atau bersua muka, kisahnya sendiri sudah mampu menjentik hati kita, membuat kita candu untuk bertemu baginda. Bagaimana sebenar-benar sosok baginda, tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah, berambut hitam bersinar, wajah bak purnama, menghormati orang tua, mengasih yang muda, memberi makan kepada si miskin, menyuap makanan kepada si yahudi, membersih air kencing si badwi. Subhanallah. Tidak tergambar oleh fikiran, bagaimana Rasulullah sebenarnya. Itulah natijah jika kita membaca sirah baginda hingga akhirnya kita YAQIN, MUHAMMAD BENAR-BENAR RASULULLAH!

Walaupun moyang kita, ibu bapa, kita mahupun keturunan kita tidak ditakdirkan bertemu muka dengan Rasulullah, tidak bermakna tugas dakwah kita berkurang, iman kita menurun kerana Muhammad itu hanya seorang nabi.




“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu beberapa rasul sebelumnya. Apakah jika dia mati atau terbunuh, kalian akan berpaling ke belakang {murtad}?...” Ali-Imran: 144.

Bukan bererti silaturrahim kita dengan baginda putus. Walaupun kita tidak sedarah sedaging, tetapi kita berpegang pada satu aqidah yang sama, tujuan hidup yang sama serta dakwah yang sama dengan baginda.

Rasulullah tinggalkan kita dengan al-Quran dan Sunnahnya yang barangsiapa menuruti, dia tidak akan sesat selama-lamanya. Wasiat baginda untuk kita yang tidak pernah bertemunya untuk berpegang pada al-Quran dan Sunnah. Rasulullah memberi syafaat kepada kita, mendoakan kita yang tidak pernah berjumpa. Bagaimana kita? Bagaimana menzahirkan cinta kepada baginda?

Sunnah baginda banyak tidak dituruti, ahadith arbain belum habis dihafali, kuburan baginda belum ada rezeki untuk diziarahi, SELAWAT JARANG-JARANG SEKALI.

AYUH BERSELAWAT!

Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat untuk nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” Al-Ahzab:56.

Berselawatlah untuk baginda, malaikat akan menyampaikan selawat dan salam kita kepada baginda. Banyakan berselawat terutama pada hari jumaat, kerana selawat dan salam kita akan sampai terus kepada baginda. Bahagiakan?

Kita tidak perlu memperuntukan waktu untuk berselawat kepada baginda kerana selama agenda kehidupan kita tidak pernah ada walau seminit untuk diperuntukan berselawat kepada baginda. Maka berselawatlah ketika teringat baginda, ketika sedang menjemur kain, berjalan ke kelas, dalam kereta, sedang memasak, sedang chek e-mail atau ketika lidah kita kosong dari percakapan. Rasulullah tidak membebani kita dengan mensyaratkan kita memperuntukan waktu yang khusus untuk berselawat kepada baginda. Masih sukar lagikah? Sukar kerana bibir kita selalu basah dengan lagu-lagu melara jiwa dan hati. Tetapi itulah jihad kita membaiki diri, segeralah berselawat kepada baginda apabila kita teringatkan baginda. Hm.. RASULULLAH SELALU INGAT KITA tapi KITA JARANG-JARANG INGAT BAGINDA. Nilai cinta kita dengan baginda ‘Rasulullah INGAT kita tapi kita TERINGAT baginda, itupun jarang-jarang, kadang-kadang.’

Ayuh kita banyakan berselawat kepada baginda. Keutamaan berselawat sangat luas untuk dinikmati.

Doa kita akan terawan-awan jika tidak diiringi dengan selawat untuk baginda. Jadi berdoalah beserta selawat untuk baginda, bukan sahaja setelah selesai solat, apa-apa saja doa kita, iringilah dengan selawat unutk baginda, doa makan, doa masuk tandas, doa belajar, segala aneka doa yang diamalkan, khuatir jika doa kita tidak sampai.

Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah bersabda “Siapa yang berselawat kepadaku satu kali, Allah akan beselawat [memberikan rahmat] kepadanya sepuluh kali]- HR Muslim, Ahmad dan Ibnu Abi Syaibah.

Dari Anas RA pula, Rasulullah bersabda “Siapa yang berselawat kepadaku satu kali, Allah akan beselawat kepadanya sepuluh kali dan mengampungkan darinya sepuluh kesalahan.] –HR. Al-Haithami dalam Majma’ Az-zawai’d.

Amir bin Rabia’h meriwayatkan, ‘Saya mendengar Rasulullah bersabda, “siapa yang berselawat kepadaku, maka malaikat akan terus-menerus berselawat [memohon ampun] padanya selama dia berselawat. Terserah dia, apakah mahu menyedikitkan atau membanyakannya,] HR. Ahmad.

Abdulrahman bin Auf meriwayatkan, Rasulullah bersabda, “Jibril datang kepadaku memberikan khabar gembir. Katanya, ‘Allah berkata padamu, siapa yang berselawat padamu, maka Aku pun berselawat padanya. Dan siapa yang mengucapkan salam padamu, maka Aku pun mengucapkan salam padanya.” Mendengar itu Aku terus bersujud kepada Allah.” HR. An-Nasa’I dan Ahmad.

Dari Abu Thalhah, Rasulullah bersabda, “… Selawatnya itu tidak ada batas akhirnya sampai menjulang di bawah Arasy. Selawat itu tidak melepasi seorang malaikat kecuali Allah berkata, “berselawatlah kalian pada orang itu, sebagaimana dia telah berselawat pada Muhammad sollallahualaihi wassallam.” HR. Al-Baihaqi dlaam sunan Al-Kubra.


Malaikat menyampaikan salam kepada baginda “Siapa yang berselawat kepadaku satu kali, Allah akan berselawat [memberikan rahmat] kepadanya sepuluh kali, dan pada saat itu, dua malaikat cepat-cepat menyampaikan salamnya kepada ruhku.’

Cara berselawat kepada baginda.

Diriwayatkan dari Ibnu Abi Laila, sahabat bertanya “Wahai Rasulullah, bagaimana cara kami berselawat kepadamu?”, Baginda berkata “ucaplah: Allahmummasolli a’la Muhammad wa’ala aali Muhammad kama sollaita a’la Ibrahim, innaka hamidun majid.- Ya Allah, semoga engkau merahmati Muhammad dan keluarga Muhammad seperti Engkau merahmati Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha terpuji dan Maha Agung.” HR. Al-Bukhari dan Muslim.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W bersabda, ‘Jika kalian berselawat padaku, maka mohonlah kepada Allah untuk memberikan Al-Wasilah bagiku.’ Ada sahabat yang bertanya, apakah al-Wasilah itu? Bainda menjawab, “iaitu darjat yang paling tinggi di syurga.Tidak ada yang mencapainya kecuali satu orang. Dan aku berharap akulah orangnya.” HR. Ahmad, Abu Ya’la dan Al-Haitsami.


Dari Abu Hurairah lagi, baginda S.A.W bersabda, “berselawatlah kepadaku kerasna itu akan mensucikanmu. Mohonlah kepada Allah agar aku mendapat darjat AL-Wasilah di syurga. Darjat itu hanya untuk seorang manusia. Dan aku berharap akulah orangnya.


Diriwatkan pula oleh Abdullah bin Amr, ia mendengar Nabi S.A.W bersabda, “jika kalian mendengar seorang muazzin sedang azan, maka ucapkanlah seperti apa yang dia lafazkan . Setelah itu berselawatlah kepadaku, Siap yang berselawat padaku satu kali, Allah kaan berselawat [memberikan rahmat] padanya sepuluh kali. Kemuadian mintalah al-Wasilah kepada Allah. Siapa yang memintakna al-Wasilah kepada Allah unutk diriku, maka ia berhak mendapatkan syafaat.” HR. Al-Bukhari dan muslim.


Celaan bagi yang tidak berselawat. Dari Ali bin Al-Husain, dari ayahnya bahawa Rasulullah baginda bersabda, “Orang yang kikir adalah orang yang ketika disebut namaku dihadapannya, ia tidak mahu berselawat kepadaku.” HR. At-Thirmizi dan Al-Hakim.


Jika Allah dan malaikat sendiri membalas selawat baginda, itulah bukti betapa pentingnya untuk berselawat kepada baginda. Allah sendiri menjawab selawat [merahmati] dan malaikat berselawat [mendoakan] kita, tentu sekali darjat selawat cukup tinggi disisi Allah. Susungguhnya al-Wasilah itu hanya layak untuk kekasih Allah, Muhammad yang terpuji.


Jika kita berniat untuk berselawat kepada Rasulullah jangan niatkan sedekah tetapi hadiah. Baginda tidak menerima sedekah tapi sangat menghargai sebuah hadiah? Hadiah kita untuk baginda adalah selawat. Innamal a’malu bin niat. : )

Abu Bakar As-Siddiq berkata “berselawat kepada Rasulullah lebih utama daripada memerdekan hamba, dan mencintai Rasulullah lebih utama daripada berperang di jalan Allah.' [aw kama qal]

*dipetik dari buku al-Wafa karangan Ibnul Jauzi.


Akhir tinta, selawat itu mendekatkan kita dengan baginda, merupakan wadah ingatan dan rindu kita kepada baginda. Selawat itu buah tangan untuk kita kepada baginda. Mari! Kita ubat rindu baginda untuk bertemu dengan kita dengan berselawat sebanyaknya dan salam kepada baginda. Usah risau, baginda pasti mengenali gerangan yang begitu mulia menghadiahinya selawat. Allahuakbar, ayuh kita bentangkan baldu rindu kepada baginda agar baginda tersenyum bahagia.

Sebelum terlupa, Rasulullah, Al-Amin tercinta mengirimkan salam cinta dan rindu kepada kalian.

Disaat sakaratul maut baginda yang getir dipelukan dada Ummu Mu’minin Aisyah baginda berkata “… Sampaikan salamku kepada para sahabatku yang tidak hadir di sini, dan juga orang-orang yang mengikuti agamaku sampai Hari Akhirat.


Jazakallah khairan kathira ya Rasulullah,
Rindumu pada kami tidak sudah-sudah,
Hanya salam terakhir untuk ummat,
Tanda cinta tiada terikat,
Walau kita tidak pernah bersua,
Tidak pernah berkongsi cerita,
Tapi kami masih ingin mencintaimu,
Menitipkan sebuah rindu.
Ummatmu berbeza tingkat keimanannya
Jika cinta kami engkau ukur dengan Abu Bakr, Bilal mahupun Umar,
Jika Rindu kami kau bandingkan Aisyah, Ummu Aiman dan Fatimah,
Selamanya kami tidak layak untuk sekuntum cinta darimu,
Jauh pula untuk kami kepada syafaatmu.
Tapi kami arif budi dan hatimu,
Terimalah selawat kami,
Syafaatkanlah kami,
Izinkanlah kami untuk mereguk air perigimu.
Wahai Abu Qasim, Wahai Al-Amin.
Salam sejahtera kepadaMu dan ahlu Bait.
Kita pasti bertemu jua.
Nantikan kami di pintu Syurga.

-Wallahua'lam-
Tambunan Sabah

No comments: